KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membayar penyelesaian sekali bayar RM155 juta kepada Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHPSB) bagi menyelesaikan pertikaian tuntutan susulan penamatan kontraknya untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah pada 2019.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan pembayaran itu selepas kontrak berkenaan ditamatkan.

“Jemaah Menteri pada 19 Disember 2018 secara prinsip telah bersetuju untuk menamatkan Perjanjian PDP dengan BHPSB dengan mengguna pakai klausa 28 Perjanjian (Penamatan atas Kepentingan Negara).

“Selaras keputusan tersebut, Notis Penamatan bertarikh 22 April 2019 telah dikeluarkan bagi menamatkan Perjanjian PDP berkuat kuasa pada 22 September 2019,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman web Parlimen.