KUALA LUMPUR: Masalah hakisan pantai di sepanjang pesisir Rompin, khususnya dari Kuala Rompin hingga Tanjung Pahang, kini semakin kritikal akibat dibadai ombak besar dari Laut China Selatan setiap tahun.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, keadaan itu memerlukan tindakan segera menerusi pembinaan struktur perlindungan pantai secara kekal bagi mengelakkan hakisan terus merebak.

Katanya, projek berkenaan perlu dilaksanakan tanpa menunggu rancangan pembangunan secara berperingkat yang seterusnya, selain meminta penjelasan mengenai status permohonan kerajaan Pahang berjumlah RM850 juta bagi menangani masalah itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Pantai Rompin kini berdepan krisis hakisan yang kritikal. Setiap tahun, ombak besar dari Laut China Selatan terus membadai pesisir pantai Rompin tanpa henti,” katanya di Dewan Rakyat.