Kuala Lumpur: Persepsi awam terhadap amalan rasuah dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat dilihat lebih baik berbanding institusi sektor awam, mengikut dapatan Kajian Persepsi Rasuah 2026.

Kajian yang dijalankan Merdeka Center itu mendapati hanya 22 peratus daripada 1,209 responden menganggap GLC sangat atau amat korup, manakala sektor korporat mencatatkan peratusan lebih rendah, iaitu 19 peratus.

Sebaliknya, dapatan kajian itu menunjukkan sebanyak 48 peratus responden menganggap agensi penguatkuasaan undang-undang sangat atau amat korup, diikuti pemimpin politik dan parti politik (42 peratus) serta ahli Parlimen (36 peratus).

Timbalan Ketua (Strategi), Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN) Ibu Pejabat Asia, Prof Wong Chin Huat berkata, penemuan itu menarik kerana GLC dan sektor swasta dilihat mempunyai persepsi awam yang lebih baik berhubung isu rasuah.