KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan membawa pulang pendapatan pelaburan yang dijana di luar negara, termasuk menerusi penyertaan lebih meluas dalam inisiatif Qualified Resident Investor (QRI) bagi membolehkan ekonomi domestik menikmati manfaat daripada dana besar yang masih disimpan di luar negara.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata pelaburan langsung luar negara oleh syarikat Malaysia meningkat lebih lapan kali ganda daripada RM94 bilion pada 2005 kepada RM778 bilion pada 2025, mencerminkan perkembangan ketara kehadiran perniagaan tempatan di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata sebahagian besar pendapatan yang dijana daripada pelaburan berkenaan masih dikekalkan di luar negara dengan hampir separuh daripada pendapatan luar negara itu tidak dibawa pulang sejak 2015.