London: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton menggesa badan sukan permotoran itu mengambil langkah lebih proaktif dalam membuka peluang kerjaya kepada golongan muda, khususnya daripada latar belakang kurang mendapat perhatian.
Desakan itu dibuat selepas yayasannya, Mission 44 menerbitkan laporan pada Isnin yang memberi amaran F1 berisiko kehilangan bakat dalam bidang kejuruteraan dan teknikal sekiranya usaha memperluas peluang kerjaya tidak dipertingkatkan.
Menerusi laporan bertajuk Igniting Inclusion, yayasan berkenaan menggesa F1 melabur sekurang-kurangnya £50 juta (RM278 juta) dalam tempoh lima tahun bagi membantu golongan muda daripada latar belakang kurang diwakili mendapatkan laluan kerjaya dalam sukan permotoran.








