Bangkok: Penemuan 'ikan zombi' yang mengalami pembengkakan seperti lepuh, luka dan perubahan warna pada sirip di Sungai Mekong menimbulkan kebimbangan kemungkinan pencemaran arsenik serta logam berat lain di sungai berkenaan.

Aktivis alam sekitar, Aombun Thipsuna, berkongsi gambar ikan 'pla khae' (ikan keli) yang terjejas pada 14 November lalu, dengan penduduk setempat menggelarnya sebagai ikan zombi berikutan penampilannya yang luar biasa.

Beliau percaya, pencemaran logam berat mungkin melemahkan sistem imun ikan dan menjadikannya lebih mudah terdedah kepada penyakit, namun punca sebenar keadaan itu masih belum disahkan.

Menurut Aombun, nelayan tempatan sudah menemui ikan dengan keadaan tidak normal yang sama sejak tempoh selepas pandemik COVID-19, selain pemantauan Jabatan Kawalan Pencemaran Wilayah 9 di Udon Thani merekodkan peningkatan kepekatan logam berat di Sungai Mekong sejak 2023.