KUALA LUMPUR: Kutipan zakat menerusi Skim Potongan Zakat (PZB) oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencecah RM521.09 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat lapan peratus berbanding RM486.28 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata peningkatan itu mencerminkan komitmen majikan dan pekerja dalam memperkukuh budaya berzakat menerusi kemudahan potongan gaji yang membolehkan pembayaran dilakukan secara konsisten setiap bulan.
Katanya, peranan majikan dalam membudayakan zakat perlu disokong dengan kemudahan pembayaran serta usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kerja.








