Pelabuhan Klang: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih banyak produk buatan Malaysia menembusi pasaran antarabangsa menerusi rangkaian pengedaran global peruncit Jepun, Daiso.
Beliau berkata, pembukaan pusat pengedaran global terbesar Daiso di Pulau Indah berpotensi membuka peluang kepada pengeluar dan pembekal tempatan untuk memperluas pasaran produk mereka ke peringkat antarabangsa.
"Dalam jangka panjang, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, kita berharap dapat melihat lebih banyak produk buatan Malaysia berada di rak Daiso di seluruh dunia," katanya berucap pada majlis pembukaan rasmi pusat pengedaran global Daiso di sini, hari ini.
Anwar berkata, pelaburan berkenaan sudah membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan antarabangsa syarikat itu.








