REMBAU – Seekor harimau kumbang jantan dewasa seberat kira-kira 50 kilogram berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di Kampung Batang Nyamor di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya menerima aduan pertama berhubung kehadiran haiwan liar itu di kawasan ternakan persendirian milik penduduk kampung pada 29 Oktober lalu.

Menurutnya, tindakan awal diambil pada hari sama sebelum perangkap dipasang bagi menangkap haiwan berkenaan.

“Harimau kumbang jantan dewasa itu berjaya memasuki perangkap pada malam semalam. Kita dapat maklumat dari pengadu sekitar pukul 10 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.