KUALA LUMPUR: UMNO menuntut kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung proses, asas perundangan serta pihak yang meluluskan penyahklasifikasian minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penjelasan berkenaan penting bagi merungkai persoalan utama sama ada pendedahan dokumen terbabit sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya.
Beliau berkata parti memandang serius serta amat kesal dengan tindakan penyebaran minit mesyuarat berkenaan di media sosial, khususnya tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara daripada DAP, Tony Pua yang memuat naik dokumen terbabit menerusi akaun Facebooknya.









