PUTRAJAYA- Tiada laporan berkenaan ancaman serangan siber berskala besar sehingga mengakibatkan data rakyat Malaysia terjejas atau dicuri setakat ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dakwaan membabitkan kebocoran data rakyat Malaysia yang tersebar menerusi beberapa laman sesawang ‘dark web’ masih belum dapat disahkan, termasuk kemungkinan membabitkan data lama.

“Setakat hari ini tidak ada apa-apa ancaman yang terlalu besar sehingga mengakibatkan data rakyat terkesan ataupun dicuri pada waktu ini.

“Ada beberapa pihak yang membuat dakwaan dalam beberapa laman ‘dark web’ yang mengatakan data rakyat Malaysia telah dicuri daripada sekian-sekian tempat, tapi tidak boleh disahkan. Kadang-kadang ia adalah data lama yang telah berlaku, tidak ada setakat ini insiden yang dilaporkan oleh pihak NACSA (Agensi Keselamatan Siber Negara),” katanya.