KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac menggesa pelakon yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual supaya membuat laporan polis dan menggunakan saluran undang-undang bagi menangani perkara tersebut.
Hans berkata, tindakan itu penting bagi membolehkan dakwaan disiasat mengikut proses sewajarnya, selain memastikan individu terlibat mendapatkan perlindungan undang-undang.
“Kalau ada isu ini berlaku, perkara pertama yang saya mohon adalah buat laporan polis.
“Selepas buat laporan polis, maklumkan kepada Finas supaya kami boleh menilai tindakan yang boleh diambil terhadap produksi atau individu terbabit berdasarkan kuasa yang ada,” katanya yang ditemui usai program MeleTOP malam tadi.









