KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengelak sebarang kejadian tidak diingini kembali berulang, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mahu mempercepatkan perpindahan atlet ke Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, pusat latihan itu berada dalam proses naik taraf ketika ini dengan sasaran untuk menempatkan semua atlet di bawah program Road to Gold (RTG) dan Podium.

Menurutnya, beliau berharap proses itu diselesaikan secepat mungkin meskipun ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai tahun depan bagi membolehkan atlet dipindahkan ke pusat kecemerlangan itu.

Ayub menjelaskan, perpindahan ke Rompin mampu untuk membantu atlet-atlet memberikan sepenuh fokus kepada latihan kerana ia diberikan kawalan 24 jam selain tidak ada perkara-perkara yang boleh mengganggu.