KUALA LUMPUR: Kemajuan teknologi perfileman mudah alih, khususnya penggunaan telefon pintar dengan keupayaan kamera canggih, bukan ancaman kepada industri filem arus perdana, sebaliknya membuka peluang lebih luas kepada pengkarya baharu menghasilkan karya tanpa memerlukan modal besar.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, berkata teknologi berkenaan membolehkan bakat baharu memulakan pembabitan dalam bidang perfileman menerusi produksi berskala kecil sebelum mengembangkan kemahiran untuk menghasilkan karya lebih besar.

Katanya, keupayaan kamera telefon pintar masa kini semakin berkembang, malah sokongan teknologi lensa bertaraf sinematik seperti ARRI membolehkan pengguna menghasilkan visual berkualiti tinggi dengan cita rasa perfileman.