Kuala Lumpur: "Saya sangat sayangkannya kerana dia kembar saya sehidup semati.
"Hanya ajal dapat memisahkan kami dan apa pun yang terjadi, saya akan bersamanya dalam senang mahupun susah," kata Muhammad Ammar Fawwaz Azizan, 22, ketika berkongsi kisah pengorbanannya yang sanggup mendermakan buah pinggang kiri sebagai usaha bagi menyelamatkan adik kembarnya, Muhammad Amir Fawwaz Azizan, 22.
Ia berikutan keadaan Muhammad Amir Fawwaz yang memerlukan penderma selepas menderita akibat penyakit buah pinggang tahap akhir sejak dua tahun lalu.
Pembedahan pemindahan buah pinggang itu selamat dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, Jumaat lalu.






