Kota Bharu: "Saya tak belajar tinggi kerana berkahwin awal jadi bangga apabila tengok anak berjaya dalam pelajaran hingga dapat kerja bagus walaupun kami bukan datang daripada keluarga senang," kata Siti Fatimah Salleh.

Siti Fatimah, 67, dikurniakan 12 cahaya mata dan kini, 11 daripadanya sudah bekerja malah ada yang bergelar doktor, jurutera, guru, anggota bomba, pencipta kandungan selain mekanik.

Manakala, anak bongsunya, Abdul Rasheed Tayyeeb Nawawi, 23, bakal menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka pada 21 September depan.

Berkongsi kisah itu, Siti Fatimah yang menetap di Kampung Pauh Panji, di sini berkata, kejayaan anaknya bukan kerana dirinya semata-mata namun disebabkan didikan Allahyarham suami, Nawawi Mat Daud yang dijemput Ilahi pada 2019 akibat angin ahmar.