BANGKOK (THAILAND): Taktik sindiket dadah menyembunyikan 240 kilogram (kg) syabu bernilai RM28.95 juta di dalam uncang teh Cina untuk diseludup ke negara ini terbongkar selepas pihak berkuasa Thailand menahan lima rakyat Malaysia, minggu lalu.

Penahanan itu dilakukan sepasukan pegawai Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Bangkok dan Polis Metropolitan 7 susulan siasatan terhadap rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan susulan penahanan dalang sindiket warga Thailand di Wilayah Nonthaburi pada 30 Oktober.

Pengarah ONCB Bangkok, Prinn Mekhanan berkata, sindiket itu dipercayai berada di Malaysia serta menggunakan Thailand sebagai laluan transit untuk membawa dadah dari bahagian tengah negara itu ke Wilayah Songkhla sebelum diseludup menyeberangi sempadan.