MEMILIKI kerjaya profesional dengan peluang bekerja di luar negara bukan sesuatu yang mudah dicapai, namun bagi Norasila Kasim, 35, semua itu bukan alasan untuk terus berada dalam zon selesa apabila hatinya menyimpan impian lain yang mahu direalisasikan.
Selepas bertahun-tahun membina pengalaman sebagai jurutera dalam industri farmaseutikal dan peranti perubatan, wanita berasal dari Gerik, Perak itu akhirnya membuat keputusan meninggalkan kerjaya berkenaan untuk pulang ke kampung dan menceburi bidang pertanian serta penternakan.
Keputusan itu bukan dibuat kerana gagal dalam kerjaya atau tiada peluang pekerjaan, sebaliknya mahu memberikan ruang kepada dirinya mencuba sesuatu yang sudah lama diminati, biarpun terpaksa memulakan kehidupan baharu dari bawah.








