Taburan hujan lebat mencecah 114.5mm mencetuskan banjir di 23 kawasan merentasi empat daerah di Selangor, memaksa pemindahan 1,373 mangsa ke pusat pemindahan sementara.

SHAH ALAM: Hujan sangat lebat dengan rekod taburan antara 63.5 milimeter (mm) hingga 114.5mm menyebabkan banjir di 23 kawasan membabitkan empat daerah di Selangor, semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dalam kenyataan memaklumkan daerah terbabit ialah Klang yang merekodkan lapan kawasan terjejas, Gombak (tujuh), Kuala Selangor (lima) dan Petaling (tiga).

Jabatan itu memaklumkan Kuala Selangor merekodkan taburan hujan tertinggi, iaitu 114.5mm di Kampung Merbau Indah Tambahan dan Perumahan Saujana Aman.