SHAH ALAM: Hujan sangat lebat dengan rekod taburan antara 63.5 milimeter (mm) hingga 114.5mm mencetuskan banjir di 23 kawasan membabitkan empat daerah di Selangor, semalam.

Daerah terbabit ialah Klang yang merekodkan lapan kawasan terjejas, diikuti Gombak (tujuh), Kuala Selangor (lima) dan Petaling (tiga).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan, Kuala Selangor merekodkan taburan hujan tertinggi iaitu 114.5mm di Kampung Merbau Indah Tambahan dan Perumahan Saujana Aman.

"Di Klang, antara kawasan terjejas ialah Kampung Delek dan Kampung Rantau Panjang yang masing-masing merekodkan taburan hujan 95.5mm, diikuti Kampung Jalan Kebun (94.5mm).