SEREMBAN: Kedudukan Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar masih belum terjawab selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap di sini, petang semalam.

Difahamkan, Ismail tiba di istana berkenaan kira-kira 5 petang, dan pertemuan dengan Tuanku Muhriz itu berlangsung lebih sejam.

Kenderaan membawa Tuanku Muhriz dilihat meninggalkan Istana Hinggap, 6.30 petang menerusi pintu utama.

Meskipun dilaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dikatakan menghantar surat peletakan jawatan selaku peneraju kerajaan negeri kepada Istana Negeri Sembilan seperti dinyatakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir, yang dimuat naik di media sosial pada 10 malam kelmarin, surat berkenaan belum disahkan ketulenannya.