Seremban: Kedudukan Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan masih belum terjawab selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap di sini, petang semalam.

Difahamkan, Ismail tiba di istana berkenaan kira-kira 5 petang, dan pertemuan dengan Tuanku Muhriz itu berlangsung lebih sejam.

Kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dilihat meninggalkan Istana Hinggap kira-kira 6.30 petang, menerusi pintu utama.

Meskipun dilaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dikatakan menghantar surat peletakan jawatan selaku peneraju kerajaan negeri kepada Istana Negeri Sembilan seperti dinyatakan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir, yang dimuat naik di media sosial pada 10 malam kelmarin, namun surat berkenaan belum disahkan ketulenannya.