SHAH ALAM: Pemaju hartanah tidak boleh lari daripada liabiliti bagi kecacatan pembinaan walaupun selepas Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) tamat, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Sumathi Murugiah membuat keputusan itu selepas mendapati Astana Modal (M) Sdn Bhd gagal membaiki dengan berkesan kebocoran air berulang dan kerosakan berkaitan, di kediaman mewah di D'Island Residence di Puchong.
Hakim itu berkata, pemaju tetap bertanggungjawab atas mutu kerja yang tidak memuaskan walaupun menjalankan kerja pembaikan sebelum ini, terutamanya apabila kecacatan berterusan atau berulang.
"Kerja-kerja pembaikan terdahulu oleh Astana dan tamatnya tempoh DLP tidak memberikan pembelaan penuh sekiranya kebocoran air kekal atau berulang, kerana pembaikan itu tidak berkesan.








