Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini memerintahkan seorang warga emas dipenjara 13 tahun dan empat sebatan selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya bagi kesalahan merogol remaja perempuan, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersama Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Datuk Dean Wayne Daly sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan tertuduh, Nasir Sharif, 64, selaku responden.
Panel hakim mengembalikan sabitan serta hukuman asal yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan sebelum ini di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, panel hakim menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman itu atas alasan tempoh pemenjaraan 13 tahun dan empat sebatan berada dalam lingkungan budi bicara yang wajar.









