KUALA LUMPUR: Seorang pesara dari Kulai, Mazlan Ibrahim, 61, memenangi wang tunai RM1 juta menerusi Cabutan Jutawan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, sekali gus menjadi jutawan keenam yang dilahirkan Bank Rakyat menerusi kempen itu.
Mazlan merupakan antara pemenang yang diraikan pada Majlis Raikan Ganjaran #UntukSemua di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman itu turut meraikan pemenang Kempen Merdeka 2026 dan Kempen Simpanan Umrah.
Ahmad Shahril berkata, penganjuran kempen dan pemberian ganjaran merupakan antara usaha Bank Rakyat untuk menghargai kepercayaan dan sokongan pelanggan serta anggotanya sepanjang 72 tahun bank itu berkhidmat kepada rakyat Malaysia.










