PETALING JAYA – Pemandangan luar biasa menyerupai tirai gergasi yang tergantung dari awan gelap di sekitar Jalan Ipoh, Kuala Lumpur mencuri perhatian orang ramai selepas rakaman fenomena berkenaan tular di media sosial hari ini.

Fenomena yang memperlihatkan hujan lebat turun secara tertumpu di satu kawasan itu turut menimbulkan rasa kagum dalam kalangan pengguna jalan raya yang berpeluang menyaksikannya.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads dikenali sebagai @anietaasril, kelihatan awan tebal berwarna kelabu gelap di ruang udara, manakala curahan hujan dari jauh kelihatan membentuk seakan-akan tirai yang menjulur ke permukaan bumi.

Lebih menarik, keadaan tersebut kelihatan jelas dari kawasan yang belum dilanda hujan lebat, sekali gus menghasilkan pemandangan yang jarang disaksikan sesetengah penduduk.