Kuala Lumpur: Kepenatan selepas hampir dua bulan berkelana di luar negara dengan mengharungi tujuh kejohanan berturut-turut tidak sedikit pun mematahkan semangat juang beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, untuk terus memburu kemenangan.

Biarpun mengakui tahap fizikal dan fokus semakin terjejas akibat jadual pertandingan padat serta perjalanan jauh merentasi Eropah dan Asia, pasangan ranking ke-14 dunia itu tetap enggan mengalah apabila berjaya mengesahkan tiket ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong, hari ini.

Pang Ron-Pei Jing mempamerkan keazaman tinggi untuk menundukkan gandingan Indonesia, Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata 21-14, 22-24, 21-13 dalam aksi pusingan pertama di Kai Tak Arena.