SIBU: Seorang bapa dan anak lelakinya berumur 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang remaja lelaki dalam pergaduhan di Taman Foochow, Jalan Gambir, awal bulan ini.
Mereka didakwa membunuh Ryuichi Hii Shan Jie, 19, kira-kira jam 12.30 tengah malam 7 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah turut berdepan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada dua beranak itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Romario Jonoi, kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.









