KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta mata wang utama dan serantau lain pada Rabu di tengah-tengah prospek kadar faedah AS yang lebih ketat.
Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.1130/1180 berbanding dolar AS daripada 4.0915/0960 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pedagang masih menilai implikasi perkembangan dasar monetari bagi 2026, dengan tumpuan segera mereka kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 8 hingga 9 Disember.
"Saya berpandangan bahawa pedagang masih meneliti implikasi perkembangan itu terhadap dasar monetari pada 2026, dan buat masa ini tumpuan utama terarah kepada mesyuarat FOMC pada Disember," katanya kepada Bernama.









