SEREMBAN: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang juga bapa mereka, di Rasah Jaya di sini pada 3 November lalu.
Tertuduh, B. Balamurali, 32, dan isterinya, S. Sangitha, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh K. Balakrishnan, 63, di sebuah rumah pangsa di Rasah Jaya kira-kira pukul 11 malam pada 3 November lalu.






