Singapura: Sepasang suami isteri tergamak membiarkan 71 ekor kucing terabai hampir dua tahun di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Panjang tanpa bekalan makanan dan air mencukupi sehingga bangkai serta tengkorak haiwan itu ditemukan, lapor The Straits Times.
Perbuatan itu terbongkar pada 20 Februari 2024 selepas seorang jiran menghubungi pihak berkuasa apabila melihat seekor kucing dalam keadaan kurus dan tertekan bertenggek di pelantar penyaman udara flat berkenaan.
Nurul Nadiah Noor Mohamed, 33, dijatuhi hukuman penjara 16 minggu semalam selepas mengaku bersalah terhadap 24 pertuduhan membiarkan haiwan mengalami kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya. Dia turut dilarang memiliki haiwan peliharaan selama 12 bulan.









