Seremban: Seorang graduan warga Indonesia yang dijadikan keldai dadah ditahan bersama 9.238 kilogram (kg) syabu bernilai RM476,180 dalam dua serbuan di negeri ini dan Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Suspek berusia 20-an itu ditahan di Terminal Pelepasan Jeti Penumpang Port Dickson, ketika membawa bagasi diubah suai untuk menyeludup 5.098 kg dadah ke Indonesia, sebelum polis menemui tambahan 4.14 kg syabu di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, pada hari sama.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, pada jam 9.30 pagi Rabu lalu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Negeri Sembilan, dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Port Dickson menahan lelaki itu di jeti berkenaan.