KUALA LUMPUR - Sebanyak 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah bagi tempoh 2024 hingga September 2026, susulan taktik sindiket yang menyasarkan golongan muda termasuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi.Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sindiket menggunakan tawaran pekerjaan bergaji lumayan, pakej percutian, tiket penerbangan, penginapan serta imbuhan kewangan untuk memerangkap golongan berkenaan."Dalam masa sama, sindiket turut memanfaatkan media sosial, platform e-dagang, aplikasi komunikasi untuk mempromosi, mendapatkan pelanggan serta menjalankan urusan jual beli dadah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah bersepadu kerajaan menangani sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan golongan muda dan graduan universiti, dengan menawarkan imbuhan lumayan bagi menarik mereka terlibat menjadi keldai dadah, serta modus operandi terbaharu yang menyalahgunakan platform e-dagang dan pasaran dalam talian bagi tujuan penjualan dadah.Shamsul Anuar berkata, antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk penggunaan akaun palsu, kumpulan komunikasi tertutup dan sementara, pembayaran tanpa tunai serta e-dompet, serta penghantaran menerusi perkhidmatan kurier menggunakan kaedah pembayaran tunai semasa penghantaran (COD) dan lokasi penyerahan (drop location).Bagi membanteras kegiatan itu, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan risikan siber dan pemantauan, serta siasatan siber 24 jam dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia platform digital dan syarikat kurier.Berdasarkan rekod, Shamsul Anuar berkata, sebanyak 47 akaun disekat pada 2025 dan 49 akaun disekat setakat tahun ini."Selain itu, kerjasama dengan institusi kewangan, penyedia platform dan syarikat kurier diperkukuh bagi mengesan transaksi mencurigakan, menyekat penyaluran pembayaran dan penghantaran, serta melaksanakan pendekatan follow the money," katanya.Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga sedang meneliti keperluan meminda Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi menyenaraikan bahan psikoaktif baharu (NPS), yang dikenal pasti supaya tindakan penguatkuasaan lebih berkesan dilaksanakan terhadap kemunculan jenis dadah baharu.Beliau berkata, PDRM terus memperkukuh jaringan risikan antarabangsa, perkongsian data dan pengesanan aset merentasi sempadan, serta meningkatkan kawalan pintu masuk negara bagi membanteras kegiatan sindiket pengedaran dadah. - Bernama