KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperketatkan pemantauan terhadap operasi Lynas Malaysia, termasuk memastikan syarikat itu mematuhi syarat tambahan sepanjang tempoh pelanjutan lesen selama 10 tahun.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal, berkata keputusan untuk melanjutkan lesen operasi Lynas selama 10 tahun dibuat berdasarkan penilaian teknikal, perundangan dan pematuhan menyeluruh oleh Jabatan Tenaga Atom (JTA), selain tertakluk kepada syarat lesen lebih ketat.

Beliau berkata, JTA menjalankan pemeriksaan serta pemantauan radiologi dan alam sekitar secara berkala bagi memastikan operasi syarikat pemprosesan nadir bumi itu tidak menjejaskan keselamatan awam serta alam sekitar.