KUALA LUMPUR: Kertas Strategi terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) menggariskan bagaimana rangkaian kontrak Syariah yang lebih luas boleh diaplikasikan secara lebih terarah dan pelbagai bagi memenuhi keperluan pembiayaan, pelaburan dan perlindungan yang semakin berkembang, menurut bank pusat itu.
Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata penyelesaian kewangan kini semakin menggabungkan pelbagai kontrak, menyokong lebih banyak aktiviti ekonomi serta dilaksanakan menerusi model perniagaan dan teknologi yang sentiasa berubah.
"Pematuhan terhadap keperluan Syariah kekal sebagai asas utama bagi transaksi kewangan Islam.
"Kontrak Syariah yang memudah cara perdagangan, pelaburan, penyediaan perkhidmatan dan perlindungan perlu diaplikasikan dengan cara yang mencerminkan tujuan asalnya serta menyumbang kepada objektif kewangan Islam yang lebih luas," katanya dalam ucapan pada Forum Fellowship Profesional CIIF 2026.









