Kuala Lumpur: Tindakan dua kanak-kanak warga asing bermain di bahagian luar tingkap kediaman di sebuah residensi di Subang Jaya membongkar kemungkinan berlakunya kecuaian ibu bapa yang disyaki meninggalkan mereka bersendirian di rumah tanpa pengawasan.

Kejadian membabitkan kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun itu bukan sahaja mengundang kebimbangan penduduk, malah mendedahkan kedua-duanya kepada risiko terjatuh yang boleh mengancam nyawa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak berkenaan dipercayai keluar melalui tingkap sebelum bermain di bahagian luar bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua kanak-kanak itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.