KOTA BHARU: UMNO Kelantan hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Parlimen daripada DAP, Tony Pua, berhubung kenyataannya dalam Facebook yang didakwa sebagai mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, berkata ia berkait kuasa prerogatif baginda sebagaimana termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan bagi perkenan lega hukum terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"UMNO Kelantan mengecam sekeras-kerasnya perlakuan membocorkan minit mesyuarat SULIT Lembaga Pengampunan (Pua dakwa ia sudah dinyahklasifikasikan).
"Pihak Peguam Negara perlu memberi penjelasan dan bertanggungjawab sepenuhnya (dakwaan) perilaku tidak berintegriti ini dengan niat disengajakan untuk memalukan Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.










