KUANTAN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pihaknya memandang serius tindakan bekas Ahli Parlimen daripada DAP, Tony Pua, mendedahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang didakwa sudah dinyahklasifikasikan berhubung pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Besar Pahang itu sekali gus menyifatkannya sebagai suatu perbuatan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

"Kuasa pengampunan merupakan prerogatif baginda sebagaimana termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi dijadikan bahan polemik politik.