Melaka: Jentera parti diingatkan supaya tidak leka atau terlalu yakin dengan sokongan pengundi kerana pola sokongan boleh berubah pada bila-bila masa.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perubahan pola sokongan itu perlu diberi perhatian serius, terutama apabila keputusan pilihan raya terdahulu membuktikan sokongan pengundi tidak semestinya kekal.
Menteri Besar Pahang itu berkata, pengalaman BN kehilangan banyak kerusi di Melaka selepas berjaya membentuk kerajaan sebelum ini sepatutnya menjadi peringatan kepada seluruh jentera parti supaya tidak mengambil mudah baki tempoh kempen.
Katanya, jentera perlu terus bekerja keras mendekati pengundi dan tidak menganggap kemenangan calon BN sudah terjamin hanya berdasarkan kekuatan parti atau prestasi terdahulu.










