KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy perseorangan negara, Ng Eain Yow dan S Sivasangari mempamerkan aksi cemerlang untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka China 2026 di Shanghai hari ini.
Eain Yow mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut ke atas pemain Perancis, Melvil Scianimanico menerusi kemenangan 3-0 (11-7, 11-8, 11-7) dalam tempoh 56 minit, namun beliau berdepan cabaran getir pada peringkat suku akhir apabila dijadualkan menentang pilihan utama dari Mesir, Mostafa Asal.
Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pemain, Eain Yow hanya pernah mencatatkan satu kemenangan daripada lima pertemuan menentang Mostafa sebelum ini, iaitu pada Kejohanan Terbuka Mesir 2021.
Terdahulu, Mostafa mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan pemain Switzerland David Bernet 3-0 dengan keputusan 11-5, 11-1 dan 11-4.










