PETALING JAYA – Seorang wanita merayu orang ramai membantu mengesan suaminya yang dilaporkan hilang sejak lebih 24 jam lalu ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.
Wanita yang tinggal di Kampung Baru itu memaklumkan, laporan polis sudah dibuat dan hari ini merupakan hari kedua suaminya tidak dapat dikesan.
Menerusi hantaran di Threads olehnya dengan profil @Miss_or_madam, suaminya sebelum ini belum pernah tidak pulang ke rumah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatannya.
“Tolong saya cari suami saya dekat mana. Dia tak pernah tak balik rumah. Dia hilang waktu dalam perjalanan balik dari tempat kerja (TTDI).
“Baju akhir dia pakai uniform kerja warna hitam. Motosikal warna ungu jenis RS150 dan helmet hijau turquoise. Tolong kongsi hantaran ni, saya merayu,” katanya.








