PRISTINA: Parlimen Kosovo memilih pakar ekonomi, Justina Shiroka Pula, sebagai presiden negara itu, beberapa minit sebelum tempoh akhir perlembagaan sekali gus mengelak pilihan raya mengejut di salah satu negara termiskin di Eropah.
Beliau memperoleh 81 undi, iaitu satu undi melebihi jumlah minimum diperlukan, dalam Parlimen yang mempunyai 120 kerusi itu pada awal pagi Rabu.
Kegagalan memilih presiden baharu akan mencetuskan pilihan raya parlimen mengejut di negara Balkan berkenaan, seperti yang berlaku pada Jun lalu.
“Mandat ini bukan milik seorang individu. Ia milik rakyat kita… Saya akan menjadi presiden kepada semua rakyat,” kata Shiroka Pula selepas pengundian.
Pemilihan Shiroka Pula susulan persetujuan antara parti pemerintah Vetevendosje pimpinan Perdana Menteri, Albin Kurti dan Parti Demokratik Kosovo (PDK) pembangkang untuk mengehadkan kuasa mahkamah jenayah perang Kosovo di The Hague.









