am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap mahasiswa sebelum ini akan digugurkan sementara proses pindaan undang-undang dan penggubalan akta baharu berkaitan pendidikan tinggi diteruskan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, bagaimanapun tindakan berkenaan tidak terpakai sekiranya membabitkan perkara serius yang tertakluk kepada perundangan negara.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kekangan terhadap kebebasan mahasiswa dapat dileraikan, selain menyelaraskan pelbagai peraturan universiti yang dilihat saling bercanggah antara satu sama lain.
"Seluruh aspek itu KPT ambil kira dan di peringkat pimpinan universiti, mereka juga perlu melakukan penyelarasan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.








