JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pengedar ditahan selepas kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi sebanyak 23,000 liter bernilai RM949,160 terbongkar di Jalan Penaga, Taman Kota Puteri, Masai, di sini semalam.
Suspek berusia 50 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 11.45 pagi menerusi Op Taring Landai yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, operasi tersebut dijalankan susulan maklumat awam berhubung kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.
Katanya, pemeriksaan awal dilakukan Unit Risik Marin (URM) Johor terhadap dua buah lori yang berada di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan yang disaksikan pemandu terbabit membawa kepada penemuan sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam tangki petak (square tank) di bahagian belakang lori.








