BATU PAHAT – Dua wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.21 petang itu, kedua-dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kereta yang terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.
Menurutnya, seramai 16 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda dikejarkan ke tempat kejadian.










