PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan meneliti cadangan memperkukuh kerjasama dengan Indonesia, termasuk melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), bagi mencegah dan mengawal kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan.
KPK dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerjasama itu boleh merangkumi perkongsian maklumat serta langkah pencegahan dan pengawalan kebakaran, susulan laporan yang mengaitkan syarikat perladangan Malaysia dengan kejadian berkenaan di Indonesia.
Kementerian itu memandang serius laporan Greenpeace dan Pantau Gambut mengenai perkara berkenaan, termasuk kebimbangan terhadap kesannya kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
"KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengadakan sesi libat urus dengan enam syarikat Malaysia pada 10 Sept lepas bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi kebakaran serta langkah pencegahan dan pengawalan di kawasan operasi masing-masing," tambah KPK.









