KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyambut baik inisiatif Belanjawan 2027 yang merangkumi pas MYKOMUTER50, pengekalan Pas MyRailLife dan pemerolehan 42 set tren baharu bagi memperluas akses kepada pengangkutan rel serta meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Dalam kenyataan hari ini, KTMB memaklumkan MYKOMUTER50 dijangka memanfaatkan kira-kira 40,000 pengguna KTM Komuter dengan penjimatan sehingga RM160 sebulan bagi membantu mengurangkan perbelanjaan perjalanan harian.
"Kemudahan ini akan meringankan perbelanjaan pengguna, khususnya mereka yang bergantung kepada KTM Komuter untuk ke tempat kerja dan menjalankan urusan seharian," menurut kenyataan itu.
KTMB turut menyambut baik pengekalan Pas MyRailLife, yang diperkenalkan pada 2023 dan menyediakan perjalanan percuma kepada kira-kira 360,000 penerima termasuk murid sekolah, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur bawah enam tahun.






