SHAH ALAM: EP Manufacturing Bhd (EPMB) memeterai usaha sama dengan pembekal komponen automotif China, Hebei Shichang Auto Parts Co Ltd (Hebei Shichang), bagi membangunkan kemudahan pengeluaran tangki bahan api plastik untuk PROTON dengan jumlah pelaburan RM100 juta.
Menurut siaran media EPMB, kemudahan Fasa 1 itu akan dibangunkan di hab pembuatannya di Batang Kali, Selangor, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 tangki bahan api setahun.
Bekalan kepada PROTON di Tanjung Malim dijadual bermula pada Mac 2027 selepas kemudahan berkenaan siap, bagi menyokong pengembangan pengeluar kereta nasional itu serta meningkatkan penggunaan komponen yang dihasilkan di Malaysia.
Susulan pemeteraian perjanjian itu, EP Shichang Automotive Systems Sdn Bhd akan ditubuhkan untuk melaksanakan usaha sama berkenaan, dengan pegangan 51 peratus oleh EPMB dan 49 peratus oleh Hebei Shichang, menurut syarikat itu.









