LENS: RC Lens meraih kemenangan kedua mereka dalam saingan Ligue 1 musim ini selepas menewaskan Olympique Lyonnais 2-1 di laman sendiri, awal pagi tadi, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah pasukan di tangga kedua liga itu.

Penyerang berpengalaman, Florian Sotoca, membuka jaringan buat tuan rumah 10 minit sebelum rehat, sebelum pertahanan kiri, Matthieu Udol, menambah gol kedua 14 minit sebelum tamat perlawanan ketika Lens menguasai aksi.

Bagaimanapun, penyingkiran Udol pada minit ke-84 membuka peluang buat Lyon untuk bangkit apabila pemain remaja, Khalis Merah, mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan untuk merapatkan jurang jaringan.

Namun, Lyon gagal menambah gol kedua bagi mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sejak awal musim.