SERDANG: Kutipan kira-kira RM23.3 juta menerusi filem sulung terbitannya, Tarung: Unforgiven, membuatkan pelakon Aedy Ashraf semakin yakin untuk mengutamakan kerjaya penerbitan, malah tidak menolak kemungkinan mengehadkan tawaran lakonan bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Aedy, 33, berkata, dia semakin seronok meneroka bidang penerbitan menerusi syarikatnya, Alpha47 Films, selain mahu menghasilkan lebih banyak karya yang mempunyai nilai dan makna kepada penonton, khususnya golongan muda.
"Saya sangat seronok dengan cabang baharu yang diceburi ini. Penerbit kreatif di Malaysia tidak ramai, jadi saya menggalas tanggungjawab untuk menyajikan lebih banyak filem yang mempunyai nilai moral, jalan cerita menarik dan makna kepada penonton muda.









